Indera Kayangan medan ujian -- BN mungkin dicabar Keadilan dalam pilihan raya kecil kawasan mendiang Khor


KANGAR 20 Dis. - Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Indera Kayangan di sini yang bakal diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangannya, Datuk Khor Liang Tee malam tadi akan menjadi medan untuk menguji sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Setakat ini pilihan raya itu yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Mac ini, memperlihatkan pertarungan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Keadilan hari ini mengesahkan akan bertanding di kawasan itu. DAP yang keluar daripada pakatan pembangkang diketuai oleh Pas baru-baru ini memberitahu Utusan ``mereka tidak berminat''.BN akan terus meletakkan calon parti MCA untuk bertanding di kawasan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, calon MCA akan diletakkan kerana kerusi itu sebelum ini dimenangi oleh calon parti itu. Pada pilihan raya umum lalu Khor menang dengan majoriti 1,974 undi kepada calon Keadilan, Ko Chu Liang. Khor memperoleh 3,825 undi manakala Ko 1,851 undi.Mengikut daftar pemilih tahun 2000, kawasan Indera Kayangan mempunyai 7,977 pengundi berdaftar dan tujuh pusat mengundi.

Menurut pemerhati politik, kerajaan BN yang kini berada di tahap terbaiknya `di mata rakyat' dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kerusi tersebut.Pas sendiri mengakui BN sudah berjaya memulihkan imejnya di kalangan rakyat, malah meramalkan BN akan memanggil pilihan raya umum secepat mungkin selewat-lewatnya awal 2003.

Sementara pihak pembangkang yang kehilangan DAP daripada pakatan mereka terpaksa bekerja keras bagi mendapatkan sokongan undi kaum Cina yang menjadi majoriti di kawasan tersebut.

Pengundi Cina merupakan 47.94 peratus di kawasan itu, sementara Melayu 46.37, India 5.29 peratus manakala lain-lain kaum ialah 0.4 peratus.Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock yang tanya apakah mereka akan membantu Keadilan dalam kempen di Indera Kayangan itu berkata ``ia terlalu awal''.

DAP mengisytiharkan keluar daripada pakatan pembangkang baru-baru ini kerana tidak mahu terbabit dengan Pas yang dikatakan telah mengurangkan pengaruhnya di kalangan masyarakat Cina.

Hubungan DAP-Pas menjadi semakin dingin apabila DAP baru-baru ini mencadangkan supaya ditubuhkan satu pakatan pembangkang baru dalam usahanya untuk menyisihkan Pas. Bagaimanapun ia belum mendapat sambutan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, BN Perlis telah membuat persiapan awal untuk menghadapi pilihan raya kecil itu nanti.Menurutnya, beliau percaya pengundi-pengundi di kawasan terbabit sudah matang berpolitik dan menilai parti yang dapat membela nasib mereka pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, UMNO akan menyokong sesiapa sahaja calon MCA yang akan dicadangkan oleh pucuk pimpinan parti itu.Sementara itu Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali berkata, keputusan untuk meletakkan calonnya dipersetujui oleh Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) sebelum bulan puasa lalu.

``Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor secara terbuka menyatakan kerusi Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan adalah milik Keadilan,'' katanya kepada Utusan hari ini.Khor yang juga Pengerusi MCA Perlis itu meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, pukul 11.47 malam tadi.

Mendiang yang juga bekas Exco kerajaan negeri menjalani rawatan penyakit barah usus di pusat perubatan itu sejak Ogos lalu.